Kebudayaan keyunanian Tamadun keyunanian

Kebanyakan ilmuwan abad ke-19 berhujah bahawa zaman keyunanian ini melambangkan kemerosotan budaya dari kegemilangan Yunani Klasik. Biarpun perbandingan ini kini dianggap tidak adil dan tidak bererti, namun harus diakui bahawa para pengulas zaman berkenaan turut menyaksikan berakhirnya sebuah zaman kebudayaan yang tiada tandingan.[9] Ini mungkin mempunyai hubung kait yang tidak terungkai dengan sifat pemerintahan. Adalah diingatkan bahawa selepas penubuhan demokrasi di Athens:

...warga Athens menyedari diri mereka menerima kuasa yang hebat. Bukan sahaja dalam satu bidang, bahkan juga dalam segala yang mereka minati...Sebagai hamba kepada penzalim, apakah pencapaian mereka?...Ditindas bagai hamba abdi, mereka mengelak dan bermalas; setelah meraih kebebasan, tiada seorang warga selain dirinya yang terasa dirinya hamba kepada dirinya"[10]

Oleh itu, setelah merosotnya demokrasi Yunani serta penubuhan negeri-negeri beraja, juga merosotnya persekitaran yang penuh dengan kebebasan kemasyarakatan.[5] Ini boleh disamakan dengan kemajuan negeri-negeri kota di Itali sewaktu zaman Pelaburan, diikuti oleh kemerosotannya di bawah pemerintah autokratik.

Bagaimanapun, kebudayaan keyunanian mekar dalam sesetengah bidang, terutamanya dalam memelihara sejarahnya. Seperti yang disebutkan tadi, negeri-negeri zaman keyunanian ini amat ghairah dengan zaman silamnya serta kegemilangan yang nampaknya pudar.[11]

Athens mengekalkan kedudukannya sebagai pusat pendidikan tinggi yang paling berprestij, terutamanya dalam bidang falsafah dan retorik, dengan sejumlah besar perpustakaan.[12] Iskandariah turut diperkatakan sebagai pusat penimbaan ilmu Yunan yang kedua terpenting. Perpustakaan Iskandariah menyimpan 700,000 jilid.[12] Kota Pergamon menjadi pusat utama pengeluaran pustaka yang memiliki sebuah perpustakaan yang menyimpan kira-kira 200,000 jilid, iaitu yang kedua terbanyak selepas Iskandariah.[12] Pulau Rhodes terkenal dengan maktab khusus politik dan hubungan luar. Cicero pernah menuntut ilmu di Athens, sementara Marcus Antonius pula di Rhodes.[12] Antioch diasaskan sebagai sebuah metropolis dan pusat pembelajaran Yunani yang mengekalkan statusnya hingga zaman Kristian.[12] Seleucia menggantikan Babylon sebagai metropolis di hilir Sungai Tigris.

Peluasan budaya Yunani ke merata Timur Dekat dan Asia turut dipacu oleh pembangunan bandar. Petempatan-petempatan seperti Ai-Khanoum yang terletak di atas laluan perdagangan memudahkan percampuran dan peluasan budaya. Penyamaan dewa-dewi pujaan setempat dengan dewa-dewi Yunani yang seumpama memudahkan pembinaan kuil ala Yunani, sementara amalan budaya Yunani di kota-kota ini juga memekarkan pembinaan gimnasium. Kebanyakan kota ini mengekalkan kebebasan pentadbiran mereka di bawah pemerintahan raja setempat atau satrap atas nama, dan lazimnya memperlihatkan institusi-institusi ala Yunani. Tahbisan, patung, seni bina dan tulisan Yunani ditemui di mana sahaja. Bagaimanapun, budaya setempat tidak dipinggirkan, sebaliknya dicampurkan untuk membentuk budaya baru.

Bahasa dan sastera Yunani meluas di seluruh bekas Empayar Parsi. Penghasilan Hikayat Iskandar (terutamanya di Mesir) banyak berpunca dari seni pementasan Yunani di samping pelbagai jenis kaedah penceritaan. Perpustakaan Iskandariah yang didirikan oleh Ptolemy I Soter telah menjadi sebuah pusat pembelajaran yang dicontohi oleh kerajaan-kerajaan lain. Salah satu contoh yang menunjukkan peluasan seni pementasan Yunani ialah kisah kematian Crassus oleh Plutarch, yang mana kepala Crassus dibawa ke istana Parthia sebagai alatan dalam pementasan Bakkhai. Juga terdapat panggung-panggung: misalnya, panggung di Ai-Khanoum di tepi Baktria, mempunyai 35 baris tempat duduk, iaitu lebih besar daripada teater di Babylon.

Peluasan pengaruh dan bahasa Yunani juga terbukti pada syiling Yunani Purba, yang mana potretnya lebih realistik, sementara pada muka hadapan syiling tertera gambar propaganda, memperingati suatu peristiwa atau gambar dewa. Penggunaan potret ala Yunani dan bahasa Yunani berterusan hingga zaman Parthia, walaupun penggunaan bahasa Yunani turut merosot.